Monday, July 18, 2011

Mahkamah Tolak Hasrat ‘Lelaki Transeksual’ Bertudung Tukar Nama

Mahkamah Tolak Permohonan 'Transeksual' Tukar Nama 

KUALA TERENGGANU — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang lelaki yang mahu menukarkan nama dalam Mykad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina dua tahun lepas.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan, dan kewujudan organ dalaman.

Mohd Ashraf Hafiz yang membuat permohonan itu pada 25 Mei lepas telah melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak daripada segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari sini bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horly Isaach.

Hakim Mohd Yazid berkata, keputusan mahkamah menolak permohonan itu juga kerana mengambil kira hujah Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, yang telah berjaya meyakinkan mahkamah bahawa permohonan berkenaan tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukanlah wanita tulen.

Katanya, walaupun pemohon telah menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.

Selain itu, katanya, tiada laporan lengkap daripada pihak hospital bersabit pembedahan jantina yang dibuat terhadap Mohd Ashraf Hafiz, dan sepanjang prosiding berlangsung, tiada seorang pun doktor dipanggil untuk memberi keterangan.

“Setelah kes ini diperhalusi dan diteliti dari semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan pemohon.

“Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan deklarasi bersabit penukaran gender dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon untuk menukar status jantina dalam MyKad dan dalam dokumen pengenalan diri lain pemohon,” katanya. – BERNAMA

*Gambar di atas adalah ketika Mohd Ashraf Hafiz muncul buat pertama kali di mahkamah baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment