Thursday, September 8, 2011

China haramkan lagu Lady Gaga

lu 06.1 China haramkan lagu Lady Gaga
Lady Gaga


BEIJING 25 Ogos – China mengharamkan laman web daripada memaparkan 100 lagu daripada artis terkemuka seperti Lady Gaga dan Backstreet Boys, kata kenyataan dalam laman web Kementerian Kebudayaan republik komunis itu.

Kementerian itu berkata, ia bertujuan untuk mengawal ‘peraturan’ pasaran muzik di Internet, dan lagu-lagu ‘yang memudaratkan budaya di negara itu mesti dibersihkan serta dikawal di bawah undang-undang’.
Notis tersebut yang diterbitkan pada 19 Ogos lalu dan dipamerkan dalam laman web kementerian, menyenaraikan lagu nyanyian Lady Gaga iaitu The Edge of Glory, Hair, Marry the Night dan Bloody Mary.

Kenyataan itu tidak menjelaskan faktor lagu-lagu terbabit diharamkan namun kebiasaannya China menapis sebarang perkara yang dianggap menyentuh sensitiviti politik.

Lirik terakhir lagu Bloody Mary mengandungi ayat ‘Oh liberdade, mi amor’ (Oh kebebasan, cintaku), dan lagu Hair dengan lirik ‘This is my prayer, That I’ll die living just as free as my hair’ (Ini doaku, Aku akan hidup dan mati dengan bebas seperti rambutku).

Turut disenarai hitamkan oleh kerajaan China ialah lagu daripada kumpulan terkenal Backstreet Boys; penyanyi R&B, Beyonce; kumpulan muzik dari Kanada, Simple Plan dan kumpulan pop Britain, Take That.
Lagu artis Asia yang diharamkan termasuklah penyanyi Taiwan, Zhang Hui-mei yang sebelum ini menghina kerajaan Beijing selepas menyanyikan lagu kebangsaan Taiwan semasa pelantikan bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian pada 2000.

China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengharamkan Hui-mei buat sementara waktu daripada membuat persembahan di Tanah Besar dan membatalkan semula iklan produknya.

Pihak berkuasa dilaporkan turut mengharamkan beberapa kumpulan muzik dari luar negara untuk membuat persembahan secara langsung di China, atau meneliti terlebih dahulu senarai lagu bagi mengetepikan lagu yang dianggap sensitif.

Sekatan sedemikian semakin ketat dikenakan terhadap persembahan artis dari luar negara selepas penyanyi Iceland, Bjork menjerit ‘Tibet!’ ketika selesai menyanyikan lagunya, Declare Independence pada pertunjukan Shanghai 2008.

Sejak 2010, China mengkehendaki semua lagu yang dimasukkan dalam laman web muzik supaya mendapat kelulusan terlebih dahulu, sebagai sebahagian langkah untuk menghapuskan kegiatan cetak rompak. – AFP

No comments:

Post a Comment