Thursday, September 8, 2011

‘Saya tak senda agama’



KUALA LUMPUR: “Saya setegas-tegasnya menafikan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan filem komedi seram, Hantu Bonceng (HB) mempersendakan Islam,” kata pengarah filem berkenaan, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menolak tuduhan pihak tertentu yang mendakwa filem komedi seram arahannya mempersendakan kesucian Islam.

Filem HB yang kini sedang ditayangkan di pawagam dan menerima pujian ramai peminatnya dilaporkan sudah mencatatkan kutipan sebanyak RM5.5 juta pada hari ketujuh tayangan didakwa memainkan isu kesucian Islam selain pelakon tambahan filem terbabit didakwa memasuki kawasan masjid dengan memakai baju tertera huruf T seakan-akan salib.


Dakwaan itu yang kini sedang diperkatakan menerusi Internet turut mendakwa beberapa babak dalam filem berkenaan turut mempersendakan azan dan ucapan dua kalimah syahadah selain aksi ‘mengarut’ pelakonnya, Zizan Raja Lawak yang berbogel di depan hantu.

Bagaimanapun, wartawan Harian Metro yang menghubungi Ahmad Idham berhubung perkara itu dinafikan oleh pengarah filem berkenaan dan beliau beranggapan dakwaan itu sama sekali tidak berasas.


“Saya tidak pernah mempersendakan Islam, sebelum menghasilkan filem ini pun saya terlebih dulu mengkaji maksud yang tersirat dan tersurat, malah filem terbabit mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ia ditayangkan.


“Harus dimaklumkan bahawa LPF sendiri mempunyai beberapa ulama yang mengkaji mengenai filem itu, sekiranya filem itu bercanggah dengan dasar Islam bagaimana ia boleh diluluskan.




“Sebenarnya penggunaan azan di dalam filem ini mampu membangkitkan iman dan menyedarkan penonton untuk menunaikan solat. Jika dilihat senario remaja masa kini, mereka lebih cenderung menyebut perkataan ‘My God’ daripada menyebut nama Allah dan itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik penggunaan azan dalam filem itu,” katanya.


Beliau juga menafikan penggunaan baju berhuruf T seakan-akan seperti salib, tetapi ia hanyalah sekadar huruf.


“Penonton perlu tahu bahawa itu adalah huruf dan kalau semua huruf T dikaitkan dengan salib maka wajarkah huruf berkenaan dibuang daripada ejaan,” tegasnya.


Menurutnya, filem terbabit bukannya filem yang berunsur dakwah sebaliknya komedi seram yang turut kehidupan seorang ‘Mat Rempit’ yang kembali insaf sejurus menjejakkan kaki di kawasan masjid.


Beliau yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu bagaimanapun menerima pandangan itu dengan hati terbuka dan menganggap tabiat pengkritikadalah mencari kesalahan orang lain.


“Saya sedia menemui sesiapa untuk berdebat mengenai filem ini kerana saya mempunyai asas yang kukuh,” katanya.



Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011090801294320110908012943/Article/index_html

No comments:

Post a Comment