Jenazah di bawa masuk kedalam kenderaan jenazah untuk di bawa ke Masjid Subang
SUBANG, 4 Sept ─ Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pukul 10 pagi tadi.
Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan itu sebaik jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada pesawat C-130 TUDM yang turut membawa pulang anggota misi bantuan Malaysia itu.
Jenazah Allahyarham yang diiringi Pengerusi Putera Umno merangkap ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, disambut anggota keluarga termasuk ayah Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu Naemah Abd Majid, 63.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa orang Menteri Kabinet.
Jurugambar dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media kelihatan berkerumun di bahagian belakang pesawat ketika keranda dilitupi “Jalur Gemilang” yang membawa jenazah Allahyarham dibawa keluar untuk dibawa ke Masjid TUDM.
Noramfaizul Mohd Nor, 39 tahun, dan beberapa petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.
Jenazah akan dibawa dan disembahyangkan di Masjid TUDM sebelum ke Masjid Al-Islah dekat sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sebelum Zohor.
Isteri Allahyarham Noramfaizul di temani oleh Datin Seri Utama Masnah Rais
Perdana Menteri diberi penerangan oleh Pengerusi Putera Umno merangkap ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sidang media Perdana Menteri, menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor sebagai wira negara.
No comments:
Post a Comment