KUALA LUMPUR – Pada tahun 1985, lahir seorang bayi yang diberi nama Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz. Bayi lelaki milik pasangan Mak Yah dan Abdul Aziz tersebut sempurna segenap bentuk sifatnya tanpa sebarang kecacatan. Bayi tersebut dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu bapanya.
Dari kecil lagi, Mak Yah sudah melihat ciri-ciri kewanitaan yang wujud di dalam diri anaknya itu. Namun, apalah daya seorang ibu untuk menghalang kecenderungan semulajadi yang semakin menonjol itu. Ashraf terus membesar dengan sifat kewanitaan yang makin terserlah.
Abdul Aziz, 60, pula menceritakan bahawa dia tidak pernah mengalami sebarang masalah untuk mendisiplinkan anak-anaknya. Namun berhadapan dengan Ashraf, dia mengakui bahawa tidak dapat menyelesaikan masalah ‘keperempuanan’ anaknya itu.
Ketika di alam remaja, ayahnya memberitahu bahawa suara Ashraf tidak bertukar garau sebagaimana kebiasaan remaja lelaki lain yang akil baligh dan lenggok jalan anaknya itu membayangkan seorang gadis sunti. Ini menambahkan lagi kerisauan Abdul Aziz.
“Adiknya pernah memotong rambutnya (Mohd Ashraf) seperti tentera, tetapi kami tetap melihatnya seperti seorang wanita, bezanya hanya rambut dia pendek,” katanya.
Menurut ayahnya lagi, biar apa pun yang mereka sekeluarga lakukan pada Ashraf, anaknya itu tetap dengan sifat kewanitaannya.
Menyebut mengenai pekerjaaan Ashraf, menurut Mak Yah, dia difahamkan bahawa anaknya bekerja di Putrajaya, namun tidak memberitahu apa perkerjaan sebenar anak lelakinya itu.
Tanpa pengetahuan Mak Yah dan Abdul Aziz, Ashraf yang memiliki diploma dalam bidang perubatan itu dikatakan telah menjalani ujian perubatan dan hormon di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur pada sekitar tahun 2007 dan dikatakan layak untuk bertukar jantina.
Kemuncak kepada ‘proses kewanitaan’ Ashraf berlaku ketika kedua ibu bapanya itu berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun 2009, apabila mengambil keputusan sendiri untuk menjalani pembedahan menukar jantina di salah sebuah hospital di Thailand tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya itu.
Meskipun pembedahan tersebut berjaya memuaskan naluri kewanitaan Ashraf, dia berdepan dengan kemarahan ibu dan ayah apabila mereka bertindak membakar semua pakaian perempuan miliknya serta menghalaunya keluar dari rumah.
Menurut Mak Yah, meskipun Ashraf dihalau dia tetap pulang ke rumah ibu bapanya, namun anaknya itu hanya berani tidur di dalam kereta sahaja.
Hidup terbuang dari keluarga tidak mematahkan semangat Ashraf untuk menjadi lebih wanita apabila memfailkan petisyen kepada Mahkamah pada 15 Mei lalu bagi membenarkannya menukar nama Mohd Ashraf Hafiz kepada ‘Aleesha Farhana’, bagi memudahkannya menguruskan kehidupan seharian, selain mahu memasuki universiti melanjutkan pengajiannya.
Petisyen yang difailkan selepas Ashraf menukar jantina itu dikendalikan oleh peguamnya, Horley Isaac dan Peguam Kanan Persekutuan, Adha Abu Bakar, serta kes tersebut didengarkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Bagaimanapun, pertisyen yang dikemukakan itu ditolak oleh Mohd Yazid dengan alasan bahawa meskipun Ashraf pernah melakukan pembedahan pertukaran jantina, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk mahkamah meluluskan permohonan itu.
Kekecewaan Ashraf jelas terbayang apabila mendengar keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu apabila menyatakan dia lebih rela mati untuk memperjuangkan matlamatnya menukar nama di atas kad pengenalannya dan nekad untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Namun, hasrat Ashraf itu tidak kesampaian apabila terlebih dahulu dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi akibat serangan jantung yang tidak stabil atau ‘unstable angina with cardiogenic shock’.
Maka dengan itu maka tamatlah perjuangan Mohd Ashraf Hafiz untuk menjadi seorang ‘Aleesha Farhana binti’ Abdul Aziz dan menurut Abdul Aziz, jasadnya dijangka disemadikan selepas solat zohor di Seberang Takir sebagai seorang lelaki.
Semoga Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz diberikan pengampunan oleh Allah S.W.T serta dicucuri rahmat ke atasnya, Al-Fatihah.
Oleh : ZAMZUKHAIRI NOORDIN
No comments:
Post a Comment