Sunday, October 2, 2011
Keretapi Peluru Terpantas di Dunia Milik China
CHINA sememangnya menggemari pencapaian yang luar biasa. Pada 30 Jun lalu, ia melancarkan dua pencapaian meganya secara serentak. Pertama, jambatan laut terpanjang di dunia dibuka di Qingdao iaitu Jambatan Teluk Jiaozhou. Jambatan itu dianggap satu lagi keajaiban Negara Tembok Besar itu
Namun, projek kedua lebih mengagumkan. Rangkaian rel kereta api laju Beijing-Shanghai dibuka pada hari yang sama. Beribu-ribu orang membanjiri Stesen Kereta Api Selatan di Beijing dengan tiket di tangan.
“Saya sangat teruja,” kata Tina Cheng, seorang eksekutif pemasaran teknologi maklumat yang membayar 550 yuan (RM260) untuk tiket kelas kedua kereta api ekspres itu yang turut dikenali sebagai bullet train. Tiket kelas VIP pula dijual pada harga AS$270 (RM837) sehala.
Perkhidmatan itu melalui tiga majlis perbandaran dan empat wilayah pada kelajuan 330 kilometer sejam (km/j).
Perjalanan dari Shanghai ke Beijing sejauh 1,318 kilometer tidak sampai lima jam. “Ia detik yang membanggakan rakyat China,” kata Tina seperti dipetik NBC News.
Landasan kereta api baru itu dibina dalam masa 39 bulan, iaitu hampir setahun lebih awal daripada yang dijadualkan. Jurutera dan pegawai kereta api telah menguji laluan itu sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembukaannya iaitu sehari sebelum Parti Komunis China menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya, 1 Julai lalu. Kerajaan China telah menjemput hampir 300 kru media dari seluruh dunia bagi menyaksikan ‘pertunjukan’ itu.
Seratus tahun silam, perjalanan dari Beijing ke Shanghai bukan sahaja berbahaya bahkan memerlukan masa sehingga tiga minggu. Kereta api biasa mengambil masa 10 jam tetapi tren laju hanya empat jam 48 minit. Sebagai perbandingan, jika anda menaiki kereta api ekspres dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, ia mengambil masa selama 10 jam untuk sampai. Pihak berkuasa kereta api berkata, tren laju itu akan mempunyai 180 perjalanan ulang-alik sehari dan boleh membawa 80 juta penumpang setahun.
Dari segi teknikal, ia boleh bergerak selaju 486km/j namun atas faktor keselamatan, kerajaan China menetapkan 300km/j sebagai had purata kelajuan. Perjalanannya sangat lancar dan pantas. Tetapi apa yang lebih penting, projek itu dibuat sepenuhnya oleh China.
“Teknologi yang kami ada sangat maju,” kata Ketua Pereka di Kenderaan Rel CNR Changchun yang menjayakan projek itu, Yang Hong. “Kami menyerap teknologi import bagi mencipta dan membangunkan produk kami sendiri,” tambah beliau.
Para jurutera China mengakui tren laju terbaharu itu telah menyerap banyak idea dari Jerman, Perancis dan Jepun sebelum menukarnya menjadi produk yang lebih baik. Petugas media turut dibawa melawat kilang CNR yang terletak di Wilayah Jilin. Kilang itu kelihatan seperti sebuah hangar angkasa dengan ramai pekerja Barat memakai baju T Siemens.
Syarikat kejuruteraan gergasi Jerman itu dan Alstom, sebuah konglomerat dari Perancis yang pakar dalam bidang pengangkutan dan sistem janakuasa – telah bekerja untuk CNR selama beberapa tahun dengan membina sistem tren laju itu.
“Kedua-dua tren dan rel dari Alstom dan Siemens ini merupakan teknologi termaju di dunia. Berdasarkan platform itu, kami membangunkan kereta api kami sebelum ini, CRH380B yang berkelajuan 380km/j. Kami adalah pemilik penuh hak cipta intelek tren itu,” kata Yang.
Dengan memiliki jaringan tren laju terbesar di dunia, China sekurang-kurangnya berjaya menunjukkan yang ia lebih bagus dalam bidang itu berbanding negara pesaing ekonominya yang lain khususnya Amerika Syarikat (AS).
Sementara banyak bandar di dunia memiliki sistem rel dan kereta api bawah tanah canggih, sebaliknya rakyat AS lebih gemar bergerak menaiki kereta dan kapal terbang.
Hanya baru-baru ini kerajaan Presiden Obama memperuntukkan AS$8 bilion (RM25 bilion) untuk membina jaringan tren laju pertama di AS. Tren terlaju di negara itu pada hari ini ialah Acela Express, berkelajuan 241km/j, yang beroperasi di antara Boston dan Washington.
Perancis, Jepun dan China memang sudah lama terkenal dengan teknologi tren laju. Secara purata tren laju di seluruh dunia beroperasi pada kelajuan 275km/j. Tren konvensional paling laju setakat ini ialah TGV milik Perancis dengan rekod kelajuan 574km/j.
Jepun pula memiliki Shinkansen yang bergerak di atas landasan konvensional. Pada tahun 1996, ujian ke atas Shinkansen berupaya mencecah kelajuan 443km/j. Banyak negara menjadikan Shinkansen sebagai model sistem tren laju mereka.
Pada tahun 2007, jurutera Perancis membuktikan bukan kereta api maglev sahaja yang boleh terapung di landasan. TGV Est V150 rekaan syarikat Alstom, bergerak pada kelajuan 574km/j.
Bagaimanapun, rekod kereta api paling laju di dunia masih dipegang kereta api yang menggunakan teknologi maglev iaitu kusyen udara terapung magnetik. Tren yang dimaksudkan itu dinamakan MLX01 dan merupakan projek Maglev Chuo Shinkansen Line di Jepun.
Pada tahun 2003, di landasan Yamanashi sepanjang 42 kilometer, kereta api itu stabil pada kelajuan ideal 500 km/j walaupun ia diuji berjaya mencapai 581km/j. Kelajuan ideal bagi kebanyakan tren laju yang membawa penumpang pada hari ini ialah 300km/j sahaja.
Tren maglev dipercayai akan menggantikan Shinkansen menjelang tahun 2025 namun kos pembinaannya sangat tinggi, dianggarkan AS$44 bilion (RM136 bilion). Buat masa ini, tren laju terkini China, CRH380C, merupakan kereta api paling laju yang sedang beroperasi. Syarikat pembuat model jenis itu berkata, geseran yang dihasilkan kurang 12 peratus daripada model CRH380B.
Model kereta api baharu itu dijangka digunakan China untuk membina projek kereta api di luar negara khususnya di Asia Barat dan AS. Syarikat-syarikat China kini telah membina teknologi rel di Turki, Iran, Venezuela dan berharap dapat menembusi Britain dan Amerika Syarikat.
“Kami ada hak untuk mengeksport teknologi kami,” kata Yang.
Menjelang tahun 2013, China dijangka memiliki rangkaian kereta api laju paling komprehensif di dunia dengan 800 buah tren. Ia juga merupakan sebahagian daripada projek Laluan Sutera yang akan menghubungkan Shanghai dan Singapura dengan melalui Rangoon di Myanmar atau Kunming di Wilayah Yunnan ke New Delhi, Lahore dan Tehran.
Sumber: Kosmo Online
Labels:
info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment