"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.
"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.
Wanita keturunan Kadazan ini sudah lali apabila dirinya menjadi bahan bualan. Kisah rumah tangganya yang terdahulu terbuka luas, umpama buku yang dibuka lembar demi lembar.
Dia mahu menakluk privasi. Mahu menjadikan kehidupan peribadinya tidak terlalu terbuka. Dia seolah-olah mahukan segala ketenangan yang dulu seperti tidak melekat pada dirinya. Kini dia membuka buku baru, bergelar isteri dan rusuk kiri buat lelaki bernama Azmi.
Takdir menjadi mualaf
Mungkin ada yang berfikiran skeptikal, berkahwin dengan seorang Muslim bernama Azmi Abdul Rahman atau mesra disapa Joe membuatkan Daphne terpanggil memeluk Islam. Namun dia punya sebab tersendiri, punya rasa tersentuh dengan kemurniaan Islam dan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini kisah bagaimana Daphne atau Dahlia akhirnya bergelar mualaf.
"Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukan dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah," tegasnya yang membikin kejutan kepada penonton Anugerah Sri Angkasa 2010 apabila melafazkan ungkapan 'MasyaAllah' dan 'Assalamualaikum' pada malam tersebut.
"Saya selalu berminat terhadap agama lain. Malah, saya datang daripada keluarga yang gemar membaca. Bahan bacaan ilmiah berbentuk kerohanian menjadi pengisi rak buku di rumah kami.
"Keluarga ibu saya juga merupakan campuran yang unik, datang daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Ia membuatkan kami sentiasa saling menghormati terhadap kepercayaan agama-agama lain," katanya.
Dia menamakan takdir sebagai titik yang mendekatkan dirinya terhadap Islam, bertemu rakan-rakan mualaf yang gemar bercakap indah tentang agama. Mendalami apa yang diperdengarkan di telinganya, Daphne secara semula jadi mendekati Islam dan sering mengutarakan soalan demi soalan kepada ustaz apabila berhadapan dengan keraguan.
"Kebetulan, pembantu rumah saya juga Muslim dan menunjukkan kepada anak saya cara kehidupan Islam. Langsung saya tidak terganggu dengan caranya. Malah bersikap terbuka terhadap pelajaran yang positif dan membangun," terangnya tentang buah hatinya Isobel yang juga sering membuat dirinya bahagia dan bercahaya.
Ujar Daphne, Isobel yang merangkak ke usia empat tahun merupakan anak yang cukup gembira, sihat walafiat dan cukup pintar.
"Dia terlalu muda untuk memahami semua ini tetapi apabila dia memerhatikan pembantu rumah saya solat dan cuba meniru dengan sejadah mininya, itu adalah momen yang cukup manis," terang ibu berusia 32 tahun ini.
Solat jemaah
"
Barang pertama yang saya beli adalah sejadah dan telekung serta sebuah buku bertajuk, How To Solat in English and Malay. Buku yang dibaca oleh kanak-kanak berusia enam tahun bukan? Jujurnya saya tidak terus bersolat tetapi memahami dan mempelajari cara-cara untuk mengambil wuduk dengan tertib seiring doa-doanya," ujar Daphne yang cukup gembira dibelikan buku-buku tentang Islam oleh suaminya. Kini dia membacanya satu persatu, perlahan-lahan memahami dengan hati.
Masuk ke dalam gerbang perkahwinan kedua bersama Joe, ujar Daphne, mereka kini sering melakukan solat berjemaah dan percaya perkara tersebut adalah salah satu kunci untuk memperkuatkan hubungan mereka sebagai famili. "Insya Allah," balasnya.
Pada tarikh 8 Januari juga, Daphne dan Joe menyatukan hati, bicara dan nekad mereka bergelar suami isteri. Hembusan bayu di Penampang, Sabah menjadi saksi jiwa mereka diikat. Berlangsunglah acara pernikahan dan resepsi perkahwinan yang diadakan secara kecil-kecilan dengan disertai jiwa-jiwa terdekat mereka, keluarga dan rakan karib.
Pasangan yang sudah mengenali hati masing-masing selama setahun lebih ini sebenarnya bertemu melalui rakan mereka. Lelaki pilihannya merupakan bekas Pengarah Urusan Redberry Group yang merangkap rakan bisnesnya.
Sebenarnya penulis pernah bertembung dengan 'pasangan' ini beberapa kali dan benar, mengikut pandangan mata sewaktu itu, mereka beraksi sebatas profesional. Mereka tidak memberi gambaran langsung bahawa cinta sedang bertali.
"Joe adalah seorang usahawan. Sangat proaktif dan mahu dirinya tidak menjadi tumpuan khalayak," Daphne mewakli Joe yang dilihat peramah dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja.
Bukan hal untuk ditertawa
Nur sedang dilimpahkan dalam hidup Daphne. Kini mempelajari satu persatu, dia juga sedar khalayak sedang memerhati dan memberi respons dengan cara mereka sendiri. Bicara wanita ini amat tegas.
"Memeluk dan masuk agama lain bukanlah satu hal yang boleh ditertawakan. Semestinya bukan aspek yang boleh dibawa main-main. Lebih penting lagi saya mengetahui sepenuh hati dan jiwa raga saya ke mana arah yang saya tuju. Mungkin kerana saya berada dalam lapangan seni, semuanya diperbesarkan 10 kali ganda.
"Tidak guna rasanya saya merangsang sokongan daripada teman-teman atau keluarga sekiranya saya sendiri tidak bersedia. Senang dikatakan begini, Those who matter don't mind. Those who mind, don't matter. Biarlah Allah melembutkan hati mereka," tegasnya.
Menjadikan Islam agama dan anutannya kini, Daphne mengaku semuanya menuntut masa.
"Sebagai permulaan cara-cara sembahyang, saya merujuk kepada nota yang saya tampalkan di dinding. Saya perlu memahami dan melakukannya.
"Alhamdulillah. Saya boleh fokus dengan famili baru dan teruskan dengan kehidupan kini," ujarnya yakin.
Selamat datang buat saudara baru ini
No comments:
Post a Comment